Friday, 18 July 2014

Mat Kilau



                    Mat Kilau merupakan anak kepada Tok Gajah. Beliau lahir di Kampung Masjid Pulau Tawar. Beliau memulakan perjuangan menentang British pada tahun 1890-an. Pada masa itu berlakulah satu pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai daripada pembesar negeri yang dilantik dan menghapuskan pentadbiran tradisional yang digantikan dengan sistem residen. Pemberontakan ini sebenarnya diketuai oleh Mat Kilau. Kesan daripada itu , bermulalah siri peperangan yang lain yang diketuai oleh Mat Kilau sehingga mengakibatkan beliau diburu oleh British. Rentetan daripada peristiwa itu , British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum. Bagaimanapun , Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

                    Peranan Mat Kilau berterusan  apabila beliau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama dari Kelantan dan Terengganu iaitu ulama terkenal Terengganu , Tok Ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. Sokongan dan kerjasama yang diberikan membolehkan , Mat Kilau dan adiknya Awang Nong membawa pengikut yang terdiri daripada penduduk Terengganu , Kelantan dan Pahang untuk menyerang Inggeris  di Kuala Atuk ( tepi Sungai Tembeling ) yang diketuai R.W Duff dan Panglima Garang Yusoh. Antara kejayaan yang dicapai oleh Mat Kilau ialah berjaya membunuh dua pengakap Inggeris. Mat Kilau dan Awang Nong kemudian berundur membawa pengikut mereka ke Kuala Tembeling. Mat Kilau juga berjaya menguasai ilmu hutan untuk mengelakkan dirinya dari ditangkap oleh pegawai British dan mempelajari taktik tiga laluan yang sangat membantu dalam menghadapi serangan Inggeris hasil daripada hubungan dengan ulama- ulama seperti Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut.

                 Peranan Mat Kilau juga terbukti apabila beliau bijak merancang strategi dalam menyerang Inggeris dalam siri peperangan pada 13 Julai 1892. .Hal ini demikian terbukti apabila Mat Kilau menyedari pendudukan pasukan pengakap daripada pasukan Walker dan Hugh Clifford di Lechau dekat Kampung Budu. Kumpulan Mat Kilau bersama Dato Bahaman berpecah kepada tiga pasukan dan menyerang dari arah yang berlainan. Dengan ini , mereka berjaya menawan kubu Inggeris di Lechau . Mat Kilau kemudiannya berundur meninggalkan kawasan itu dan bersatu dengan Tok Gajah untuk menyerang Pasir atas ( tepi Sungai Tembeling ) pada hujung Julai 1892.

                 Peranan Mat Kilau juga terserlah dalam menawan Kuala Tembeling. Peristiwa ini bermula pada akhir 1892 apabila orang melayu Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman , Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan. Pada Mei 1894, Mat Kilau dan Tok Gajah berpindah dari Hulu Kelantan ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah. Ketika di Kampung , Mat Kilau selalu berulang lik ke Kampung Paloh dan berjumpa Tok Engku Sayyid. Pada 14 Jun 1894 , Mat Kilau dan Tok Gajah membawa 100 pengikut untuk menyerang Inggeris di Kuala Tembeling dan mendirikan kubu di Jeram Ampai.

                  Peranan dan perjuangan Mat Kilau berakhir pada oktober 1895 apabila askar siam mengetahui tempat kediaman Mat Kilau dan menangkap beliau. Mereka membawa beliau ke Kota Kharu , Kelantan. Dalam perjalanan ke sana , Mat kilau dipercayai melawan dan askar Siam dikatakan memukul kepala Mat Kilau hingga tidak sedarkan diri dan dianggap mati , mayatnya diserahkan kepada Sultan Kelantan dan dia didapati masih hidup . Sultan Kelantan kemudian menyuruh Mat Kilau melarikan diri dan upacara gimik mengebumikan Mat Kilau dilakukan di Bunut Payung dekat Kota Bharu menggunakan batang pisang.
 










No comments:

Post a Comment